Sastera Islami Menolak Hukum Karma
Hukum Karma adalah
sebahagian daripada kepercayaan agama Hindu. Perkataan 'karma' bermakna
'tuhan'. Hukum karma adalah kepercayaan bahawa yang baik dibalas baik,
yang jahat dibalas jahat, semasa seseorang itu masih hidup di dunia ini.
Cerita Si Tanggang adalah contoh klasik pengaruh Hindu dalam sastera
rakyat Melayu pra-Islam.
Ramai orang menyangka Hukum Karma serasi dengan
Islam. Malah ramai orang yakin Hukum Karma adalah hukum yang memang
wujud dan ia adalah hukum semula jadi ciptaan Allah.
Tema Hukum Karma popular dalam cerita-cerita, baik
cerita-cerita yang diterbitkan dalam bentuk buku, bangsawan, drama TV,
filem dan lain-lain. Malah, jikalau watak jahat tidak menerima hukuman
jahat, ia dianggap tidak cocok dengan ajaran Islam.
Dalam surah Yusuf terdapat banyak watak jahat, namun
tidak seorang pun daripada watak-watak jahat itu menerima hukuman atas
kejahatan yang mereka lakukan. Malah Nabi Yusuf sendiri sebagai watak
yang baik ditimpa banyak penderitaan.
Kisah Nabi Yusuf membayangkan bahawa dalam novel
Islami, kejahatan tidak dianjurkan supaya dibayar dengan kejahatan juga.
Malah dianjurkan supaya watak utama yang ideal itu harus mengalami
pelbagai penderitaan yang berat.
Hukum Karma berbeza daripada ajaran Islam kerana
bagi penganut Hindu, Hukum Karma itu hukum yang berlaku di atas dunia
ini. Maka setiap musibah yang menimpa seseorang di dunia ini diyakini
adalah balasan kepada kejahatan yang telah dilakukannya.
Mengikut fahaman Hindu, musibah adalah hukuman daripada Sang Karma (tuhan) disebabkan seseorang itu melakukan dosa.
Hukum Karma tidak serasi dengan konsep 'dugaan'
dalam Islam. Dalam Islam salah satu fungsi musibah adalah sebagai
dugaan, makanya orang-orang yang baik, malah nabi-nabi sekalipun ditimpa
musibah. Tidak mungkin penderitaan yang dialami oleh nabi-nabi adalah
hukuman dari Sang Karma.
Orang Islam menganut konsep 'dugaan', makanya kita
dapat menerima realiti yang menunjukkan banyaknya orang-orang jahat
tidak menerima sebarang hukuman di dunia ini, manakala kita menyaksikan
banyaknya orang-orang baik ditimpa malang yang berat-berat.
Dalam Surah Yusuf, watak-watak jahat semuanya sedar
akan dosa yang telah mereka lakukan dan insaf. Di atas segala apa yang
telah mereka lakukan kepada Nabi Yusuf dan ayahnya, tidak seorang pun
yang tidak dimaafkan. Ini membayangkan dalam novel Islami tidak ada
unsur balas dendam oleh watak utama dan tidak ada unsur karma.
link: universiti pts
0 ulasan:
Catat Ulasan