Pages

Ustaz Zakaria Sungib (8)

Mencipta Watak Yang Hidup


#  Mencipta watak rekaan yang ‘hidup’ tidaklah begitu susah sebenarnya. 
 
#  Ambil watak sebenar dalam dunia realiti dan tukar kepada watak fiksyen dengan sedikit ubah suai pada karektor dan latar belakangnya.

#   Salah satu unsur yang dapat memberi ‘nyawa’ kepada watak adalah dengan memberi kelainan tersendiri kepada satu-satu watak. Satu watak tidak sama stailnya dengan watak lain. 
 
#   Hilal Asyraf berkata penulis perlu meletakkan kelainan tersendiri dalam setiap watak kerana dalam kehidupan sebenar, tidak mudah untuk menemui dua manusia yang sama stailnya. Dengan menjadikan setiap watak ada kelainan, watak-watak akan nampak dinamik.

#  Satu cara untuk memasukkan watak yang ‘hidup’ ke dalam karya adalah dengan mendokumentasikan watak-watak yang dicipta supaya mudah dirujuk dan supaya penulis tidak terkeliru atau terlupa dengan sifat atau latar belakang watak-watak ciptaannya. 
 
*   Faisal Tehrani menyarankan agar penulis menyediakan buku nota watak sebagai bahan rujukan. 
 
*   Hilal Asyraf menyediakan ‘kertas watak’ – dicatatkan setiap watak untuk novelnya pada helaian kertas yang berbeza. 
 
*   Abu Hassan Morad menyediakan kertas vanila dan menampalkan pada kertas vanila itu guntingan foto watak-watak realiti yang mewakili watak-watak dalam novelnya. Kertas vanila itu dilekatkan di dinding bilik kerjanya.
 
“Wataklah yang menggerakkan cerita dan sebab akibat (casualties). Sebaik-baik watak sudah dicipta, sebaik itulah cerita dicipta,” -Faisal Tehrani

sumber: http://zakaria-sungib.blogspot.com/

ustaz Zakaria Sungib (7)

Ayat-ayat Yang Mengalir Di Bawah Sedar 


#   Apabila seseorang penulis mahu menulis dalam satu-satu genre penulisan, penulis itu mesti membaca banyak buku dalam genre tersebut.

#   Gaya atau ragam bahasa yang digunakan dalam penulisan itu akan mempengaruhinya sewaktu proses menulis.

#   Apabila seseorang itu banyak membaca novel, laras atau ragam bahasa novel akan terakam dalam pemikiran bawah sedarnya. Dengan itu, apabila dia menulis novel, ayat-ayat novel akan mudah mengalir di hujung penanya.

#   Begitu juga apabila seseorang itu banyak membaca buku motivasi atau buku inspirasi maka dia akan mudah menulis menggunakan ayat-ayat motivasi/inspirasi.

# Maka untuk menjadi novelis yang baik, penulis mesti banyak membaca novel.

# membaca bukanlah semata-mata kerana membaca dapat menambah pengetahuan. Ia juga disebabkan membaca dapat membantu penulis menguasai dan menggunakan gaya bahasa yang sesuai dengan genre penulisan yang diterokainya.

sumber: http://zakaria-sungib.blogspot.com/

ustaz Zakaria Sungib (6)

Bakat, Minat dan Kesungguhan

  # Hanya setelah tulisannya siap dan dia kongsikan tulisan itu dengan orang lain, barulah dia akan mendapat keyakinan diri dan menerima maklum balas berhubung dengan bakat penulisannya.

# Bakat (talent) kadang-kadang hanya disedari oleh empunya diri pada lewat usia.

# Dengan bakat, seseorang itu cepat belajar dan kuasai satu-satu kemahiran. Tinggi, sederhana atau rendah bakatnya menentukan cepat atau lambat dia menguasai bidang kemahiran itu.

# Dengan hanya bakat menulis, penulis mampu mengolah tulisan dengan baik dan menggunakan bahasa yang tersusun. 

# Penulis memerlukan bakat lain untuk menulis karya-karya fiksyen umpamanya. Misalnya, untuk menulis novel, penulis memerlukan bakat bercerita. Untuk menulis novel kanak-kanak atau novel remaja, penulis memerlukan bakat untuk bercerita kepada kanak-kanak dan remaja.

# Penulis yang mempunyai bakat yang cukup tinggi mampu menulis dengan baik dalam semua genre. 

# Bagaimanapun, dengan bakat menulis yang biasa-biasa saja pun, seseorang itu boleh menulis dengan baik apabila dia memfokus pada satu-satu genre penulisan. 

# Tujuan yang jelas, minat yang mendalam dan kesungguhan. 

link:  http://zakaria-sungib.blogspot.com/

Bahasa Melayu Tinggi

BAHASA MELAYU TINGGI (BMT)

  1. Apa itu BMT?
BMT adalah bahasa yang rapi, mudah dan bersifat kekal. BMT bukan bahasa yang sukar. BMT adalah bahasa yang berkembang (elaborate code), lawan kepada bahasa yang terencat (restricted code). Oleh itu, BMT lebih luas penggunaannya.

  1. Kenapa BMT?
-          supaya karya evergreen, disebabkan sifat BMT yang kekal – merentas ruang dan waktu. Kita masih boleh menikmati novel Hamka, memahami bahasa Syeikh Daud Fatani.
-          supaya karya diterima dengan baik di sekolah-sekolah dan di rumah. Mendapat kepercayaan guru dan ibu bapa.
-          supaya karya dapat menjadi alat bantu mengajar Bahasa Melayu.
-          supaya semua orang diajar berbahasa dengan baik dan betul, dengan itu dapat keluar dari budaya rendah. BMT saluran kepada budaya tinggi, lawan kepada budaya rendah/defisit budaya. (Prof. Abdullah Hassan: “Defisit budaya ini akan berkekalan melainkan ada intervensi.”)
-          supaya karya kita mudah difahami oleh bangsa asing yang belajar Bahasa Melayu.
-          Jangka hayat raknya (shelve life) panjang. Boleh dijual dan diulang cetak dalam tempoh yang lama – benar-benar jadi harta intelek dan boleh diwariskan.

  1. Ciri-ciri bahasa rendah atau bahasa terencat:
-          Memendekkan perkataan eg. ni, tu, dah, tak, nak
-          Membuang imbuhan (me, di, ber, kan) eg. Dia panjat pokok.
-          Ejaannya mengikut sebutan dialek eg. kah – ke, besar – besor, kecil – kecik, habis – habeh.
-          Banyak mengambil kata pinjam eg. pintu gate, bagi clear, you all,
-          Bahasa campur



ustaz Zakaria Sungib (5)

Panduan Untuk Novelis Menyemak Karya Sendiri


1. Memeram
- Apabila siap draf pertama novel, raikan diri sendiri sambil melupa-lupakan dulu karya itu––tinggalkan atau ‘peram’. Mungkin sehari, mungkin dua hari, mungkin juga seminggu atau dua minggu. Tujuannya supaya apabila penulis melihat semula manuskripnya nanti, dia akan melihatnya dengan fikiran yang lebih segar dan perspektif yang baru atau bird’s-eye view.

2. Menyemak dan Mengedit Secara Makro
- Selepas diperam, cetak dan baca keseluruhan draf pertama itu. Di tempat-tempat tertentu, baca dengan suara jika boleh, supaya kita dapat mendengar bunyi ayat-ayat yang ditulis, terutamanya bagi ayat dialog.
- Sewaktu menyemak secara keseluruhan ini, kita mungkin akan terus membetulkan, memotong atau mencatat di mana-mana bahagian yang perlu ditambah.
- Di peringkat ini, kita akan melihat kekuatan atau kelemahan perkara-perkara berikut:
  • Tiga bab awal – adakah mampu menarik minat dan ‘mengikat’ pembaca? Mengikut psikologi orang membaca buku, jika tiga bab pertama itu menarik, orang akan terus membaca.
  • Bab pertama – Daripada tiga bab awal, bab pertama adalah paling kritikal dan paling penting untuk menarik minat serta ‘mengikat’ pembaca. Pastikan tempo cerita dalam bab pertama itu cepat. Jika terasa perlahan dan boleh membosankan pembaca, bagaimana hendak mencepatkan tempo cerita?
Bab pertama ini mestilah sudah menampakkan halatuju cerita, sudah ada bayangan konflik, sudah diperkenalkan watak-watak utamanya, sudah ada sesuatu yang menarik tentang watak atau yang berlaku pada watak yang pembaca tidak sabar-sabar hendak tahu perkembangan seterusnya.
  • Struktur keseluruhan – jalinan yang kuat-menguat antara plot, latar dan watak. Adakah perjalanan ceritanya ada turun naik atau mendatar saja?
  • Adakah di hujung setiap bab ada elemen ‘cliff hanger’ yang berfungsi menimbulkan tanda tanya atau suspens, lantas memancing pembaca meneruskan bacaan? Adakah di awal setiap bab ada elemen ‘hook’ yang berfungsi mengikat pembaca untuk terus membaca?
  • Nilai-nilai dakwah dan didikan yang diselitkan melalui perkembangan watak, dialog, aksi, naratif dsb. Misalnya:
- Adakah nilai didikannya diselitkan secara berhikmah dan tidak terlalu ‘mengajar’?
- Adakah karya itu mampu memberi impak positif kepada pembaca––membawa pembaca daripada jahil kepada berilmu, dari bersikap negatif kepada positif, daripada cuai akan tanggungjawab kepada sungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab, daripada mengabaikan syariat kepada prihatin soal syariat, daripada suka menyalahkan orang lain kepada suka muhasabah diri, dsb.
- Adakah karya itu dapat membawa pembaca ingat dan bergantung kepada Tuhan? Atau adakah ia kurang menyebut atau kurang dikaitkan dengan Tuhan?
  • Konflik – Cerita menjadi menarik apabila wujudnya konflik, sama ada konflik luaran antara watak-watak atau konflik dalaman watak. Adakah konflik-konflik dalaman atau konflik luaran itu cukup kuat lalu menimbulkan masalah kepada watak utama, atau adakah boleh dikuatkan lagi?
Adakah graf konflik sentiasa menaik hingga ke akhir cerita (puncak) lantas membuatkan pembaca teruja untuk terus membaca, atau adakah graf konflik itu mendatar dan menurun di pertengahan cerita hingga pembaca hilang minat untuk meneruskan bacaan?
  • Apakah berjaya diwujudkan halangan-halangan (obstacles) yang meletakkan watak utama dalam situasi tercabar dan teruji serta menjadikan cerita lebih menarik?
  • Plot – adakah sebab dan akibat yang dipaparkan itu meyakinkan? Adakah plot utama (main plot) disokong atau dikuatkan dengan plot sampingan (subplot)? ‘Cerita dalam cerita’ menjadikan jalan cerita lebih menarik.
  • Latar tempat – adakah latar tempat dapat digambarkan dengan jelas hingga pembaca dapat memvisualkannya dalam kepala? Atau, adakah latarnya kabur hingga pembaca tidak dapat membayangkan di mana berlakunya satu-satu babak atau dialog.
  • Dialog – adakah dialog-dialog yang sopan dan berakhlak lebih dominan atau adakah dialog kasar dan biadap sudah terlebih ‘dos’? Adakah dialog-dialog dapat membantu menggerakkan cerita atau relevan dengan jalan cerita? Adakah dialog cukup kuat atau sekadar basa-basi perbualan (tidak membantu menggerakkan cerita)?
  • Apakah ada ‘the most memorable dialogue/moment/scene’ di mana-mana bahagian novel itu yang akan diingati oleh pembaca dan pembaca suka membacanya berkali-kali? Novel yang baik biasanya ada bahagian yang dapat dianggap ‘the most memorable moment’.
  • Watak – Adakah setiap watak utama mempunyai cerita tersendiri dan masing-masing ada akhiran ceritanya? Sebuah novel yang baik dihidupkan ceritanya oleh watak-watak yang mempunyai cerita tersendiri dan membantu menggerakkan cerita. Setiap watak itu pula ada akhirannya, tidak tenggelam begitu saja.
  • Adakah perkembangan watak (watak utama dan watak sampingan) meyakinkan dan membantu pergerakan cerita? Adakah setiap watak utama yang diketengahkan ada akhiran ceritanya atau apakah ada watak yang tenggelam begitu saja? Adakah kita dapat bina watak dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik untuk dijadikan contoh ikutan?
- Perkemaskan isi dengan melihat mana-mana bahagian yang perlu ditambah, dibetulkan atau diolah semula.
- Padatkan – tengok mana-mana bahagian (paragraf, ayat, dialog) yang perlu dipotong supaya hanya bahagian yang relevan saja yang tinggal. Dalam istilah penyuntingan, ada ungkapan ‘kill your darling’ – buang bahagian yang penulis sayang untuk menjaga ‘flow’ tulisan supaya kemas dan padat.
3. Menggilap
- mengemaskan lagi olahan selepas draf pertama disemak dan diedit.
4. Mengedit Secara Mikro
- selepas diperkemaskan isi, barulah tiba waktunya untuk memperkemaskan bahasa – tatabahasa, ejaan, tanda bacaan, pemerengganan, dsb.
5. Kongsi karya kita dengan orang lain
- beri manuskrip kita kepada pembaca peribadi untuk dibaca dan dikomen secara ‘layman’ (pembaca awam) yang jujur, sebelum diserahkan kepada editor.
6. Menggilap lagi
- daripada maklum balas yang diterima, gilap lagi karya itu dan setelah benar-benar berpuas hati dengan aspek makro (isi) dan mikronya (bahasa), barulah serahkan kepada editor. Penulis mesti berpuas hati dengan karyanya sebelum karya itu sampai ke tangan editor. 


ustaz Zakaria Sungib (4)

Komitmen Penulis Untuk ‘Menjual’ Diri Sendiri

“Penulis tidak boleh mengharapkan penerbit semata-mata untuk mempromosikan bukunya. Penulis sendiri perlu ‘menjual’ dirinya. Tidak perlu malu,”-zabidi mohamed

“Penulis yang berlatar belakang Islami perlu berani menempuh perkara ini. Berani mempromosi diri sendiri,” katanya.


Buku adalah hasil kreativiti dan hasil perahan minda penulis sendiri. Buku itu harus diperkenalkan kepada seramai mungkin orang supaya lebih ramai mendapat manfaat daripadanya. Oleh itu tidak ada sebab mengapa penulis buku harus malu mempromosi bukunya sendiri. Sama seperti seorang pembuat kek, dia tidak harus malu mempromosi kek-kek buatannya.

Apabila penulis menghasilkan buku yang ada unsur dakwah dan didikan, langkah promosi itu juga sebahagian daripada usaha dakwah dan usaha mendidik. Bukankah menonjolkan diri atau men'selebriti'kan diri itu perlu untuk melancarkan dakwah dan didikan?
 
Pendakwah (dalam konteks ini penulis) harus dikenali ramai supaya dakwahnya mudah diterima oleh seramai mungkin mad'u (sasaran dakwah). Apabila penulis yang membawa gagasan dakwah dan didikan tidak berbuat demikian, jangan salahkan orang ramai apabila mereka lebih kenal kepada penulis yang memperjuangkan karya picisan, lucah dan merosakkan.
 

Ustaz Zakaria Sungib (3)

Siapa Pembaca Peribadi Anda?


# ‘Pembaca peribadi’ ini adalah orang pertama yang akan membaca tulisan kita sebelum tulisan itu diserahkan kepada editor. 

# Dengan cara ini, penulis dapat mengelakkan daripada sindrom cepat berpuas hati dengan hasil tulisannya tanpa memikirkan respons daripada pembaca. 

# Penulis dapat mengenal pasti kesan atau impak tulisannya ke atas para pembaca kelak

#Penulis akan sempat membuat ubah suai malah membuat rombakan jika perlu, sebelum tulisan itu diserahkan kepada editor.


Ustaz Zakaria Sungib (2)

Menulis Untuk Remaja

  • Kepada calon-calon penulis novel remaja Islam, saya sentiasa pesankan supaya mereka cuba memahami siapa yang disasarkan untuk membaca tulisan mereka.
  • Dalam pendekatan dakwah, sasaran pembaca ini disebut mad’u. Sekiranya sasaran pembacanya adalah remaja, penulis mesti memahami remaja sebagai ma’du.

1. Remaja suka watak yang bukan perfect sangat atau ‘skema’. Sebaliknya remaja suka watak yang mungkin perfect dalam beberapa aspek, tapi yang ada ciri-ciri kelemahan yang ketara dalam aspek tertentu. Itulah watak yang biasa-biasa mereka dapat temui dalam lingkungan mereka.

2. Remaja suka unsur humor atau kelakar. Oleh itu, penulis harus cuba menyelitkan unsur humor. Antaranya dengan mengeksploit kelemahan atau ‘trademark’ satu-satu watak untuk timbulkan adegan-adegan lucu.

3. Remaja suka kepada ekspresi keremajaan, bukan ekspresi ke’emak’an atau ekspresi orang tua. Misalnya, remaja lebih senang menerima saranan atau nasihat daripada rakan sebaya berbanding daripada orang tua. Oleh itu, penulis perlu meletakkan diri seperti kawan yang menasihati kawannya yang lebih muda, bukan seperti ibu atau bapa menasihati anaknya. (Tip ini saya dapat daripada penulis novel remaja Ain Maisarah sewaktu menghadiri taklimat penulisan novel chick-lit anjuran PTS.)

4. Remaja suka membaca cerita yang ‘happy ending’. Oleh itu, penulis novel remaja harus seboleh mungkin cuba menamatkan ceritanya secara ‘happy ending’, bukan sebaliknya.

Azmah Nordin (1)

Kenapa Novelis/Cerpenis Perlu Baca Puisi?

1. Puisi mengajar menggunakan perkataan seekonomi mungkin;
2. Puisi menggunakan imaginasi yg sgt kuat;
3. Puisi adalah inspirasi;

#Selain drpd buku2 antologi puisi yg byk boleh kita perolehi di DBP dan di toko2 buku yg lain, kita juga boleh memperolehi puisi2 yg baik lewat internet, di laman2 web sastera Malaysia mahupun di Indonesia. Jika anda boleh berbahasa Inggeris, ia adalah satu bonus. byk laman web yg menawarkan puisi harian yg boleh anda langgan terus ke inbox emel anda.

Namun, andainya anda benar2 tak menggemari puisi, kenapa anda tak lirik2 lagu puisi, yg telah memberikan byk inspirasi kepda saya, semasa mula2 belajar menulis dahulu :)


(baca artikel penulis di blog azmah nordin )


____________
#Baca buku puisi
#Catat perkataan puitis
#Biasakan bahasa puitis, lama-lama jadilah bahasa semakin cantik.

Ustaz Zakaria Sungib (1)

Penulis dan Dunia Yang Dekat Dengannya

Apabila kita dekat dengan sesuatu, kita akan berasa lebih mudah untuk bercerita mengenainya. Penulis harus menulis tentang sesuatu yang dekat dengan dirinya supaya lebih mudah dia berekspresi. 

Apabila kita mahu menulis kisah pergolakan dunia kanak-kanak tetapi kita tidak dikelilingi oleh suasana kehidupan kanak-kanak, bagaimana hasilnya nanti? Kita hanya akan menulis tentang watak-watak yang kita tahu tetapi tidak kenal. 

Sebab itu saya menyarankan kepada calon-calon penulis novel remaja Islami supaya mendekati dunia remaja, memahami psikologi mereka dan menyelami pola berfikir mereka. Apabila kita dapat mengikhlaskan niat untuk membangunkan jiwa remaja ini melalui karya kita, nanti Allah akan bantu kita untuk menyelitkan nilai didikan yang sesuai untuk mereka. Nilai yang disampaikan melalui pendekatan yang mereka boleh terima.

Benar sekali apa yang Rasulullah SAW pesankan, bercakaplah dengan orang lain mengikut kadar akalnya. 

Universiti PTS (8)

Strategi Meneroka Pasaran Remaja Awal Lelaki


Pada masa ini jualan buku-buku untuk remaja lelaki tidak serancak jualan buku-buku remaja perempuan. Inilah faktor yang menyebabkan majoriti penerbit Melayu memfokuskan bisnes mereka kepada remaja perempuan, sehingga berlakunya fenomena lambakan buku remaja perempuan dalam pasaran -- suatu keadaan yang merugikan semua pihak.

Pasaran remaja lelaki mempunyai potensi, namun sektor ini masih belum berjaya kita kembangkan. Ini isu ayam dengan telur. Disebabkan penerbit tidak mahu menerbitkan buku untuk remaja lelaki maka akibatnya remaja lelaki tidak mempunyai banyak pilihan, akibatnya mereka tidak gemar membeli, akibatnya penerbit tidak mahu menerbitkan judul untuk mereka, dan begitulah seterusnya.

Dari sudut bisnes, disebabkan pembeli remaja lelaki masih kecil, buku-buku remaja lelaki perlu dijual kepada remaja perempuan juga.

Manakala remaja lelaki tidak membaca buku remaja perempuan, sebaliknya remaja perempuan juga mahu membaca buku remaja lelaki.

Antara langkah-langkah yang dapat digunakan bagi mengembangkan pasaran buku remaja lelaki adalah dengan melakukan strategi di bawah ini, supaya dengan itu barulah buku itu dibeli baik oleh remaja lelaki mahupun oleh remaja perempuan.

1. Desain kulit bagi buku-buku yang ditargetkan kepada remaja lelaki perlu menarik kepada mata remaja perempuan juga.
2. Walaupun heronya lelaki, watak perempuan perlu ada dalam cerita.
3. Nama pengarang perlu neutral, yakni tidak terlalu lelaki dan tidak terlalu perempuan.
4. Tajuk buku perlu neutral.

link: http://universitipts.com/

Universiti PTS (7)

Tip Survival Penulis: Perkataan Menjadi Lusuh

Salah satu jenis makna disebut dengan istilah 'makna emosi'.

Perkataan bukan hanya mempunyai makna rujukan, tetapi juga makna emosi, maksudnya apabila kita mendengar ataupun membaca perkataan itu maka timbul semacam emosi dalam hati kita.
Sebagai contoh makna rujukan perkataan 'perempuan', 'wanita' dan 'betina' adalah serupa, tetapi makna emosi ketiga-kita perkataan itu berbeza.

Makna emosi boleh berubah-ubah. Dari sudut makna, perkataan adalah seperti kain, apabila terlampau kerap digunakan lama-lama perkataan itu menjadi 'lusuh', hilang daya tarikannya. Sebagai contoh, perkataan 'cinta' apabila terlalu sering digunakan sebagai judul novel, lama-lama perkataan 'cinta' itu tidak lagi menimbulkan emosi positif lagi.

Apabila mencipta judul buku, elakkan perkataan yang sudah lusuh makna emosinya.

Pada masa ini, selain perkataan 'cinta', perkataan 'cemerlang', 'gemilang,', 'terbilang', 'dahsyat' dan 'hebat' semuanya sudah lusuh.

link: http://universitipts.com/

Universiti PTS (6)

Trend Terbaru Dunia Membaca

Berikut adalah perkara-perkara yang sedang kita saksikan:
* Amazon adalah penjual buku paling besar di dunia tanpa memiliki lokasi fizikal. Ia mengubah segala-galanya tenang bagaimana buku dijual.
* Penulis sekarang dapat menerbitkan tulisan mereka online - di blog, di laman web, di forum dan dalam jaringan sosial.
* Penulis tidak mempunyai editor. Mereka terus berinteraksi dengan pembaca tulisan mereka. Pembaca mereka dapat berhubung terus dengan mereka.
* Garis yang memisahkan antara buku, filem, majalah, akhbar, dan laman web makin kabur.
* Pasaran Ebooks semakin berkembang - dapat dibaca dalam komputer menggunakan format PDF, dalam Kindle, dalam iPad, dalam smartfon, di mana-mana sahaja.
* Penulis bebas menulis, tiada sebarang sekatan, tiada peraturan, tiada had, tak perlu menggunakan tulisan, tiada batas harga, dapat berkongsi idea-idea dengan pembaca secara live!

link: http://universitipts.com/

Universiti PTS (5)

Seni Mencipta Judul Buku

Apabila saudara sudah siap menuliskan buku saudara, tibalah masanya memilih judul bagi buku saudara itu. Judul yang baik akan diterima oleh editor saudara.


Judul mesti kena terus kepada pembeli sasaran. Mula-mula ingat kepada siapa buku itu ditujukan. Katakanlah buku itu adalah berkenaan komunikasi interpersonal. Tetapi siapakah yang akan menggunakan buku itu: Guru? Ibu bapa? Isteri? Pekerja Pejabat? Ketua? Remaja?


Tajuk “KOMUNIKASI INTERPERSONAL” adalah terlalu am. Tajuk ini sesuai untuk buku teks. Ia tidak sesuai untuk tradebook, yakni buku yang dijual di kedai. Jikalau buku itu ditujukan kepada guru-guru, tajuk “KOMUNIKASI INTERPERSONAL UNTUK GURU” adalah lebih tepat. Jika buku itu ditujukan kepada remaja, tajuk yang sesuai adalah “KOMUNIKASI INTERPERSONAL UNTUK REMAJA”.


Tajuk tidak boleh menggunakan perkataan yang membawa makna negatif. Tajuk yang berbunyi “PANDUAN MENGATASI MASALAH RUMAH TANGGA” menggunakan perkataan negatif iaitu 'masalah'. Tajuk yang positif adalah “PANDUAN MENGEKALKAN KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA”.


link: http://universitipts.com/

Universiti PTS (4)

Penulis Banyak Songel

Kebanyakan penulis mempunyai sikap kooperatif, mudah berunding dan suka bekerjasama dengan penerbit. Tetapi, macam biasalah, ada yang 'banyak songel'.

Bagi saudara yang baru hendak menceburkan diri dalam dunia penulisan, elakkan perkara-perkara berikut:

  • Meminta layanan istimewa dari penerbit. Sebagai contoh saudara minta kekecualian daripada dikenakan prosedur yang dikenakan kepada semua penulis lain. Kalau penulis lain tahu saudara diberi layanan istimewa, cakap penerbit tak dipercayai lagi oleh penulis-penulis lain. Penerbit takut hilang kredibiliti, suatu hal yang amat berbahaya dalam dunia bisnes. Bagi penerbit, hilang seorang penulis lebih baik daripada hilang kredibiliti.

  • Apabila editor melakukan kesilapan teknikal, sebagai contoh nama saudara salah eja, jangan mengutuk penerbit dalam Yahoo group saudara. Masalah teknikal, penyelesaiannya adalah secara teknikal. Ejaan yang salah dapat dibetulkan apabila buku saudara diulangcetak, tetapi nama baik yang rosak tak dapat diperbaiki. Saudara boleh kutuk orang, tetapi orang pun boleh kutuk saudara. Jangan kutuk-mengutuk, besok lusa, mana tahu, kita terpaksa bersua muka.
  • Saudara jangan 'depan cakap lain, belakang cakap lain' dengan editor. Depan editor sudah setuju buku saudara diterbitkan, balik belakang tulis SMS tarik balik keputusan itu. Ingatlah, editor sudah banyak menggunakan masa bagi memproses manuskrip saudara: kos mengedit, buat layout, bayar pelukis ilustrasi, buat design kulit, uruskan CIP, buat filem, tiba-tiba saudara tak mahu tandatangani perjanjian penerbitan! Cerita saudara yang cakapnya tak boleh dipegang tentu sampai ke pengetahuan editor-editor syarikat lain.
  • Apabila penerbit mengaturkan aktiviti promosi buku saudara, janganlah minta bayaran itu ini. Penerbit sudah mengeluarkan banyak kos bagi mengadakan aktiviti itu, ambil sikap sama-sama mempromosi buku saudara. Jangan tengok jangka masa pendek, tengok jangka masa panjang. Kalau saudara banyak syarat, penerbit akan mempromosi buku-buku penulis lain.
Ingatlah, penerbit mempunyai beratus-ratus penulis, masing-masing dengan bukunya. Pegawai promosi di penerbit itu diberi bajet tahunan. Beliau perlu mengadakan sebanyak-banyak aktiviti promosi menggunakan peruntukan wang yang terhad. Kalau saudara minta dibayar untuk itu dan ini, beliau akan mencari penulis lain. Jadi, jangan merungut jika buku-buku saudara tidak dipromosi.

link: universitipts

Universiti PTS (3)

Penulis Menjadi Jurulatih


  1. Buku saudara adalah satu lagi sumber pendapatan bagi saudara. Tanpa buku saudara bergantung semata-mata kepada yuran.
  2. Buku saudara adalah cara saudara mengiklankan kepakaran saudara. Antara orang-orang yang membaca buku saudara mungkin terdiri daripada individu-individu yang terlibat dengan tugas-tugas menganjurkan ceramah ataupun latihan di tempat kerja mereka.
  3. Buku saudara dapat dijadikan salah satu daripada bahan yang dibekalkan kepada para peserta seminar ataupun latihan.
  4. Buku saudara membolehkan saudara menaikkan yuran yang saudara kenakan disebabkan dengan membaca andungan buku itu orang dapat menilai taraf ilmu dan kepakaran saudara.
link: universitipts

Universiti PTS (2)

Perkaitan antara Risau dan Kegagalan

Salah satu penemuan yang dilakukan oleh pakar-pakar psikologi adalah terdapatnya perkaitan kuat antara faktor 'risau' dengan 'kadar kegagalan' ke atas apa sedang diusahakan.

Ertinya, jika seseorang itu sedang cuba melakukan sesuatu, apabila dia risau mengenai hasil pekerjaannya itu, kemungkinan dia gagal melakukannya adalah lebih tinggi. Semakin dia risau, semakin tinggi kemungkinan dia gagal.

Penemuan ini penting saudara ingat apabila saudara sedang belajar menulis buku saudara. Jangan saudara risau akan perkara-perkara seperti apakah buku saudara akan diterima oleh penerbit, ataupun apakah buku itu laku dijual dan seumpamanya.

Semakin saudara merisaukan perkara-perkara itu, semakin tinggi kemungkinan saudara gagal menyiapkan buku saudara.

Universiti PTS (1)

Sastera Islami Menolak Hukum Karma

Hukum Karma adalah sebahagian daripada kepercayaan agama Hindu. Perkataan 'karma' bermakna 'tuhan'. Hukum karma adalah kepercayaan bahawa yang baik dibalas baik, yang jahat dibalas jahat, semasa seseorang itu masih hidup di dunia ini. Cerita Si Tanggang adalah contoh klasik pengaruh Hindu dalam sastera rakyat Melayu pra-Islam.

Ramai orang menyangka Hukum Karma serasi dengan Islam. Malah ramai orang yakin Hukum Karma adalah hukum yang memang wujud dan ia adalah hukum semula jadi ciptaan Allah.

Tema Hukum Karma popular dalam cerita-cerita, baik cerita-cerita yang diterbitkan dalam bentuk buku, bangsawan, drama TV, filem dan lain-lain. Malah, jikalau watak jahat tidak menerima hukuman jahat, ia dianggap tidak cocok dengan ajaran Islam.

Dalam surah Yusuf terdapat banyak watak jahat, namun tidak seorang pun daripada watak-watak jahat itu menerima hukuman atas kejahatan yang mereka lakukan. Malah Nabi Yusuf sendiri sebagai watak yang baik ditimpa banyak penderitaan.

Kisah Nabi Yusuf membayangkan bahawa dalam novel Islami, kejahatan tidak dianjurkan supaya dibayar dengan kejahatan juga. Malah dianjurkan supaya watak utama yang ideal itu harus mengalami pelbagai penderitaan yang berat.

Hukum Karma berbeza daripada ajaran Islam kerana bagi penganut Hindu, Hukum Karma itu hukum yang berlaku di atas dunia ini. Maka setiap musibah yang menimpa seseorang di dunia ini diyakini adalah balasan kepada kejahatan yang telah dilakukannya.

Mengikut fahaman Hindu, musibah adalah hukuman daripada Sang Karma (tuhan) disebabkan seseorang itu melakukan dosa.

Hukum Karma tidak serasi dengan konsep 'dugaan' dalam Islam. Dalam Islam salah satu fungsi musibah adalah sebagai dugaan, makanya orang-orang yang baik, malah nabi-nabi sekalipun ditimpa musibah. Tidak mungkin penderitaan yang dialami oleh nabi-nabi adalah hukuman dari Sang Karma.

Orang Islam menganut konsep 'dugaan', makanya kita dapat menerima realiti yang menunjukkan banyaknya orang-orang jahat tidak menerima sebarang hukuman di dunia ini, manakala kita menyaksikan banyaknya orang-orang baik ditimpa malang yang berat-berat.

Dalam Surah Yusuf, watak-watak jahat semuanya sedar akan dosa yang telah mereka lakukan dan insaf. Di atas segala apa yang telah mereka lakukan kepada Nabi Yusuf dan ayahnya, tidak seorang pun yang tidak dimaafkan. Ini membayangkan dalam novel Islami tidak ada unsur balas dendam oleh watak utama dan tidak ada unsur karma.