Pages

Universiti PTS (16)

Ciri-Ciri yang Membezakan Sastera Dewasa dengan Sastera Remaja


Novel-novel sejarah Islam karya Tuan Abdul Latip Talib banyak dibaca oleh remaja, malah ada remaja 8 tahun sudah membaca novel-novel beliau.

Adakah disebabkan novel-novel beliau itu amat digemari oleh pembaca remaja maka novel-novel itu layak dimasukkan dalam kategori sastera remaja?

Banyak orang dewasa suka membaca sastera remaja. Demikian juga, banyak pembaca remaja membaca karya yang ditujukan kepada pembaca dewasa.

Pakar-pakar sastera remaja menyenaraikan ciri-ciri sastera remaja:

(i) Apabila protagonis atau watak utama dalam karya itu adalah seorang remaja.

(ii) Persoalan-persoalan dalam karya itu adalah berkenaan dunia remaja, yakni perkara-perkara yang dialami oleh remaja, ataupun perkara-perkara diminati oleh remaja.

(iii) Karya itu ditulis menggunakan gaya penceritaan dan gaya bahasa yang dapat difahami oleh pembaca remaja.

(iv) Tema yang baik untuk sastera remaja adalah konflik yang dialami oleh golongan remaja apabila mereka bertembung dengan dunia kehidupan yang lebih besar.

(v) Dalam sastera remaja yang bermutu tinggi, protagonisnya baru kali pertama mengalami konflik dunia orang dewasa.

Apabila sastera dewasa mempunyai protagonisnya yang terdiri daripada seorang remaja, maka karya itu menjadi sastera dewasa apabila sudut penceritaaannya adalah sudut pandang orang dewasa. Ini berbeza dengan sastera remaja di mana dalam ceritanya tiada sudut pandang orang dewasa.

Karya dewasa yang protagonis adalah seorang remaja lazimnya ditulis dengan nada kenang-kenangan zaman kanak-kanak dan remaja si pengarangnya. Ini berbeza dengan sastera remaja yang jarang sekali bernada kenang-kenangan.

Novel-novel Andrea Hirata (Lasykar pelangi) dan A Fuadi (Negeri 5 Menara) adalah contoh di mana protagonisnya adalah remaja namun ia ditulis dengan menggunakan sudut pandang orang dewasa, maka dengan itu kedua-dua novel itu adalah tergolongan dalam genre sastera dewasa.

Dengan hal yang demikian, maka siri novel sejarah pahlawan Islam karya Abdul Latip Talib adalah genre sastera dewasa meskipun majoriti pembacanya adalah golongan remaja.

sumber: universiti pts

0 ulasan:

Catat Ulasan