Pages

Universiti PTS (12)

Panduan Memilih Penerbit


Bagi penulis yang baru pertama kali menulis, ini ada beberapa panduan am tentang bagaimana hendak mengurangkan risiko tersalah serah manuskrip kepada penerbit yang tidak kredibel:

1. Jangan serahkan manuskrip kepada individu yang baru hendak cuba-cuba menerbitkan buku. Dia mungkin bukan penipu, tetapi disebabkan dia baru belajar menjadi penerbit, kemungkinan dia gagal dalam bisnes penerbitannya adalah besar, oleh itu risiko yang saudara ambil adalah amat tinggi.

2. Jangan serahkan manuskrip saudara kepada penerbit yang 'one-man show' di mana dia membuat semua keputusan tentang manuskrip saudara. Dialah tawkay, dialah yang pegang buku cek, dialah yang memilih manuskrip, dan dialah yang pergi ke bank. Individu seperti itu amat berkuasa dan jika dia hendak menipu saudara, memang mudah dia melakukannya, sebab semua rekod perniagaan dia yang simpan.

3. Jangan serahkan manuskrip disebabkan saudara percaya kepada orang itu. Walaupun dia sahabat baik saudara, itu bukan jaminan dia akan berjaya menjaga kepercayaan saudara.

4. Jangan serahkan manuskrip kepada sesiapa sebelum saudara bertanya kepada orang yang lebih berpengalaman akan latar belakang penerbit itu. Dapatkan maklumat adakah penerbit itu membayar royalti tanpa ditagih, adakah dia menyediakan dokumen perjanjian penerbitan, dan lain-lain maklumat yang penting.

5. Tip mudah yang amat berguna adalah tanya adakah ketua eksekutif penerbit itu seorang yang semata-mata makan gaji dengan syarikat tersebut. Jika benar, itu bermakna risiko saudara ditipu oleh orang yang makan gaji adalah rendah disebabkan dia hanya makan gaji. Lainlah kalau dia tuan punya syarikat itu, di mana apabila dia dapat menipu saudara, wang itu masuk ke dalam akaun peribadinya.

Memang risiko penulis ditipu oleh penerbit kecil sentiasa ada, tetapi bukan semua penerbit kecil adalah penipu. Di mana-mana sekalipun ada orang baik, ada penipu. Kebanyakan penerbit kecil tidak dapat membayar royalti saudara disebabkan mereka gagal dalam bisnes, bukan kerana mereka itu orang jahat.

sumber: universitipts.com

0 ulasan:

Catat Ulasan